Thursday, April 06, 2006

Kata-kata bukan bukan sesedap rasa. (1)

“Apa yang saya sebut belum tentu dia faham,” rungut Jamil kepada rakan karibnya.

Balas Zaid, “Benar, jika saya ulang dua kali perkataan yang sama dia pasti fikirkan benda lain.”

“Seperkara lagi, aku tidak fahamlah dengan sikap dia. Selalu benar merendah-rendahkan orang lain,” kata Jamil lagi.

Zaid menggeleng-geleng kepala, “Selalu benar pesanan yang ditulisnya tidak difahami oleh guru kelas.”

Jamil memandang wajah Zaid dan bertanya, “Mungkin apa yang kita katakan sebenarnya yang menimbulkan masalah ini?”

Anda mungkin pernah berhadapan dengan situasi sebegini. Apa yang kita sebut dan sampaikan memberi tindak balas yang bukan kita inginkan. Dalam interaksi seharian, jenis pemilihan perkataan yang kita gunakan untuk menyampaikan maksud berkemungkinan menjadi punca masalah tersebut. Terdapat beberapa punca mengapa keadaan ini berlaku dan beberapa tindakan perlu diambil kira sebelum kita berinteraksi secara lisan mahupun melalui penulisan.

Halangan pertama : Satu perkataan dua maksud

Bayangkan suasana perhentian bas ekspres yang penuh sesak, kemudian anda mendengar pengumuman dari corong radio, “Perhatian kepada semua penumpang-penumpang, bas ke Kuala Lumpur akan bertolak setengah jam dari sekarang. Diminta agar anda berada di sana. Terima kasih.”

Bagaimana anda hendak bertindak balas dengan arahan ini? Boleh jadi anda akan menuju ke tempat menunggu bas yang disediakan untuk perjalanan ke Kuala Lumpur atau anda terus menaiki bas tersebut. Pada kefahaman anda, arahan bersedia yang dimaksudkan ialah berada kerusi bas itu sendiri atau kerusi tempat menunggu tersebut.

Malah dalam penggunaan bahasa bersifat umum juga boleh menimbulkan kekeliruan. Perkataan makan bererti menikmati hidangan tetapi dalam penggunaan bahasa harian, makan juga bermaksud pukul atau tipu.

Cuba lihat di filem-filem tempatan, dialog seperti ‘kita makan dia!’ bukanlah menikmati manusia sebagai hidangan, tetapi bermaksud untuk memukul atau menipunya.

Halangan kedua : Perkataan yang terlalu bersifat teknikal dan abstrak

Cuba bandingkan kedua-dua teks berikut dan kenalpasti teks manakah yang lebih mudah untuk anda fahami dan lebih senang untuk disampaikan kepada orang lain.

Teks pertama

Ketamadunan komuniti dunia hari ini bermula dari penyusunan struktur asas masyarakat itu sendiri yang bergerak dari detik terciptanya nukleus komuniti iaitu keluarga yang seimbang jasad, mental dan rohaniah. Gabungan nukleus-nukleus terpisah ini akan membawa kepada satu kesatuan yang stabil seandainya jangkaan masa hadapan sebuah negara disusun melalui tindakan proaktif serta mengambil kira kemuncak yang membawa kepada kepupusan.

Teks kedua.

Keluarga yang seimbang hati, pemikiran dan fizikal adalah penentu kepada masa hadapan sebuah negara yang seimbang. Gabungan keluarga yang seimbang dalam ketiga-tiga aspek ini membawa kepada masyarakat yang mengamalkan nilai hidup bertamadun. Untuk mengekalkan keadaan ini, tindakan dan perancangan yang berterusan perlu wujud dan pada masa sama mengambil kira faktor-faktor yang boleh mengancam keseimbangan ini.

Kedua-dua teks diatas membawa maksud yang sama, perbezaannya ialah cara penyampaian isi. Penggunaan perkataan bersifat terlalu teknikal dan abstrak boleh menimbulkan rasa kagum seseorang terhadap anda. Kekaguman ini berpunca dari anggapan bahawa anda mempunyai pendidikan dan berpengetahuan tinggi. Tetapi, pada masa sama ia boleh menjadi punca mesej anda tidak difahami dan orang mudah tertolak untuk tidak mendengarnya lagi buat kali kedua.

Halangan ketiga : Sama bunyi, berbeza rupa.

“Kamu dari mana tadi?” tanya Juliana apabila melihat Syakira tiba di pondok bas.

“Saya baru balik dari rumah Ramlah, sepanjang hari kami sibuk mengetuk…”

“Apa! Awak dan Ramlah mengutuk?” kata Juliana tanpa menunggu Syakira menghabiskan kata-katanya

Perkataan bunyi seerti sering mengelirukan pendengar. Ia mudah dilihat dan difahami jika disampaikan melalui catatan. Tetapi, bagi mereka yang kurang peka, ia akan menimbulkan salah faham.

Malah berlaku keadaan apabila seseorang tidak dapat menyebut perkataan-perkataan tertentu kesan daripada kegagapan, kesukaran menyembut huruf tertentu, berkata-kata pada tahap kederasan tinggi atau loghat yang sudah sebati dengan lidah membuat perkataan yang digunakan difahami dengan maksud lain.

Cipta peluang bukan halangan. (2)

Terdahulu kita telah mengenalpasti beberapa halangan-halangan yang timbul dalam interaksi dengan individu lain. Terdapat beberapa halangan lain yang dikenalpasti menjarakan keberkesanan kita untuk tampil sebagai inividu yang boleh menarik minat orang lain untuk berkomunikasi dengan kita kesan daripada halangan-halangan pemilihan kata dalam kategori berikut. Pilihlah kata-kata yang mencipta peluang bukan halangan.

Halangan keempat : Semuanya sama sahaja.

Menggunakan perkataan yang bersifat umum dan mempercayai semua keadaan tertakluk dalam kategori tersebut menjadi salah satu punca komunikasi bermasalah.

Baru-baru ini penulis menerima pesanan ringkas dari seorang sahabat yang menceritakan kisah malang hidupnya. Kata-katanya diakhiri dengan ayat, “semua orang sama sahaja…” Mesej tersebut membuat saya tertanya-tanya, adakah saya juga sama seperti individu yang pernah menimbulkan masalah dalam hidupnya?

Membuat kenyataan umum terhadap sesuatu perkara boleh menjejaskan hubungan secara langsung, lebih-lebih lagi apabila kenyataan itu berunsur negatif. Kenyataan umum tersebut seolah-olah telah dipersetujui oleh orang yang menerima mesej tersebut meskipun belum mendengarnya.

Kebiasaannya, perkataan seperti semua, kebanyakan, dan majoriti digunakan untuk membuat kenyataan umum. Jika anda bercadang menggunakan kenyataan umum, mulakan dengan perkataan, “pada pandangan saya…” atau “saya merasakan…” dan “bagi saya…”

Perkataan-perkataan tersebut memabawa maksud bahawa ia kenyataan peribadi anda. Ia bebas untuk dipersetujui oleh mereka yang mendengar atau sebaliknya. Akui bahawa setiap manusia mempunyai keunikan tersendiri dan sukar untuk mengelompokan semua orang dalam kategori yang sama.

Halangan kelima : Bual bicara ekstrem.

“Sama ada awak sertai kumpulan saya atau dia?”

“Pilih antara satu, ikut kami atau kami tinggalkan awak?”

“Ya atau tidak?”

Dalam berkomunikasi dengan rakan-rakan, berlaku pemilihan kata-kata yang memerlukan seseorang bertindak membuat keputusan. Perkataan-perkataan yang menggambarkan hanya ada dua pilihan untuk membuat keputusan adakalanya mengganggu interaksi yang baik.

Sebagaimana dialog di atas, ia boleh dikembangkan kepada dialog-dialog berikut yang memberi lebih keselesaan emosi untuk seseorang membuat keputusan,

“Sama ada awak sertai kumpulan atau mana-mana kumpulan yang lebih sesuai.”

“Awak boleh ikut kami. Jika tidak mahu, tidak mengapa. Tetapi jika awak hendak kami menunggu awak selesaikan urusan awak, kami boleh tunggu.”

“Adakah awak pasti?”

Halangan keenam : Kata-kata jenaka sensitif .

Dalam hidup bermasyarakat, lebih-lebih lagi hidup bersama pelbagai kaum, semestinya budaya hormat melalui pemilihan kata-kata yang sesuai adalah perkara penting untuk mengeratkan perhubungan.

Elakan kata-kata yang merendah-rendahkan satu kaum dengan kaum lain meskipun untuk tujuan jenaka ringan. Dengan hidup bersama kaum lain, memberi peluang untuk kita sama-sama belajar sesuatu yang menarik dan mengembangkan diri dengan kelebihan ini.

Misalnya di Melaka, masyarakat Baba Nyonya dan Chetty datangnya dari percampuran hidup dengan kaum Melayu yang membawa kepada satu kelompok identiti masyarakat yang unik dan mempunyai persamaan adat dan cara hidup. Masing-masing mudah berinteraksi dan lancar menyanyikan lagu tradisional dalam satu bahasa tanpa rasa kekok atau janggal.

Malah, pernah diceritakan oleh seorang tokoh pemikir berbangsa Cina dalam satu seminar, “Buat pertama kali saya singgah makan tengah hari di sebuah kedai makan yang diusahakan oleh orang Melayu, tetapi hidangannya adalah itik yang dimasak cara kaum Cina yang diubah sedikit kaedahnya agar halal untuk mereka menikmatinya.

Halangan ketujuh : Salah jangka umur, pangkat dan taraf hidup

Perkataan-perkataan yang sensitif juga merujuk kepada kata-kata yang merendah-rendahkan seseorang kerana faktor umur dan latar hidupnya. Ia menjadi halangan yang cukup sukar diperbaiki apabila ia berlaku.

“Awak sudah tua, tidak lama lagi nyanyuk.”

“Keluarga miskin, boleh berjayakah?”

“Awak jadi ketua kelas sebab guru kelas bersimpati dengan awak.”

“Dia bukan bagsu sangat, sebab ayahnya pemnadu bas…”

Perkataan-perkataan ini penulis kategorikan sebagai perkataan-perkataan ‘pembunuh’ yang akan memutuskan hubungan baik anda dengan sesiapa sahaja, walaupun anda sekadar ini bergurau atau menguji rakan.

Seandainya anda mengenali seseorang buat pertama kali, gunakan perkataan seperti saudara, saudari, tuan, puan, atau kata ganti diri yang sopan merujuk kepadanya. Elakan perkataan engkau apabila berinteraksi dengan orang lebih tua dari anda.

Jika datangnya dari golongan cerdik pandai atau berstatus gunakan perkataan profesor, cikgu, doktor atau apa-apa yang sesuai dengan kelayakan akademinya. Bagi mereka, ia adalah satu penghormatan atas usaha dan penat lelah mereka selama ini untuk mencapai tahap tersebut.

Kata-kata itu kuasa

Tahukah anda bahawa apa sahaja yang disampaikan melalui lisan atau secara bertulis memberi kesan yang mendalam kepada penerima dan penyampainya? Bak kata peribahasa Melayu, ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa’ menggambarkan perkataan-perkataan yang keluar dari mulut amat berpengaruh dalam kehidupan.

Amalan pendidikan dari rumah dari ibu bapa sering menekankan kepentingan berbicara dengan gaya bahasa sopan, kata-kata yang sesuai dan mengambil kira kepentingan orang yang sedang mendengar. Personaliti pelajar yang berketerampilan dan dihormati turut diukur dengan kata-katanya.

Perkataan mempunyai nilai kuasanya tersendiri. Apabila kita mengetahui nilai kuasa tersebut, kita lebih berhati-hati dan bertindak bijak untuk menyebut serta memilih perkataan yang memberi kesan yang baik kepada diri. Menurut seorang pakar matematik dan kejuruteraan bernama Alfred Koryzbski, setiap perkataan yang dipilih mempunyai kesan terhadap pemikiran dan tindakan kita.

Perkataan mempunyai nilai kuasa.

Sejauh mana kuasa perkataan dalam menentukan tindakan kita boleh ditentukan dengan label yang kita berikan kepada setiap perkara yang kita dengar, lihat dan fikirkan. Misalnya, apabila kita membaca akhbar harian dan membaca berita kejayaan para pelajar dalam peperiksaan SPM beserta wajah-wajah ceria. Apakah yang akan sampaikan kepada rakan-rakan berkenaan laporan berita tersebut?

Sekiranya kita memilih perkataan-perkataan positif untuk berkongsi berita tersebut, maka maklumat itu akan diambil secara positif dan laporan berita tersebut dilihat sebagai sesuatu yang akan memberi dorongan kepada diri.

Begitu juga apabila kita menonton filem di pawagam. Komen yang kita sampaikan kepada rakan-rakan sama ada label baik atau tidak menentukan tindakan mereka untuk menonton filem yang sama.

Perkataan boleh mengubah emosi.

Shakir sudah dua hari tidak menghadirkan diri ke sekolah. Pada keesokan harinya, Shakit didatangi rakan-rakannya ketika dia dalam perjalanan ke kelas.

“Awak tahukah pengetua sedang mencari awak?” tanya salah seorang daripada mereka.

Shakir yang masih keliru bertanya, “Kenapa?”

“Pengetua mencari awak kerana awak disenaraikan sebagai pelajar yang ponteng sekolah. Bukankah dua hari lalu awak tidak hadir?” kata sahabatnya.

Shakir mula bimbang, dia berasa resah. Melihat keadaan Shakir yang semakin tidak keruan dan gelisah, rakan-rakannya mentertawakannya. Rupa-rupanya Shakir dipermainkan.

Kuasa perkataan dalam interaksi harian boleh mengubah emosi seseorang. Penulis percaya, kita pernah mengalami keadaan dipermainkan oleh rakan-rakan dengan cara menakut-nakutkan diri kita.

Emosi seseorang boleh bertukar menjadi bersemangat sekiranya kita menggunakan perkataan yang betul untuk membantunya. Kita tentu pernah mendengar kisah kejayaan rakan-rakan kita dalam peperiksaan SPM yang datang dari latar belakang hidup serba kekurangan.

Apabila pelajar-pelajar cemerlang ini ditanya rahsia kejayaan, mereka menjawab, “Ibu selalu ingatkan saya agar belajar bersungguh-sungguh agar boleh bela nasib keluarga,” atau “Ayah dan ibu selalu beri dorongan untuk berusaha agar hidup berubah” dan seumpamanya.



Perkataan yang anda sebutkan membuat manusia bertindak.

Cinta monyet melibatkan para pelajar amat popular sejak dahulu lagi. Salah satu perbuatan yang popular dan sering dilakukan oleh para pelajar yang bercinta ialah mengutus surat atau pesanan ringkas melalui telefon bimbit. Apabila menghampiri tempoh peperiksaan maka banyaklah perkataan-perkataan pendorong yang disampaikan.

Sebahagian pasangan pelajar dalam kategori cinta monyet ini akan berubah perilaku dari malas kepada rajin dek kerana kata-kata semangat ini. Tidak kurang juga yang semakin khayal dan terlupa dengan tanggungjawab belajar mereka dan tersasar hanya kerana kemanisan kata-kata tersebut.

Pada peringkat universiti, semangat siswa-siswi untuk menaikan nama universiti mereka sering dipengaruhi oleh perkataan yang terpampang pada pelekat di cermin belakang kereta, baju sukan, topi, payung dan buku nota keluaran universiti sendiri. Ada juga pelajar-pelajar yang kreatif dengan menghasilkan kata-kata semangat mereka sendiri dan mengedarkan melalui poster-poster serta kain pemidang bagi dipamerkan kepada warga kampus. Amalan ini sering dilihat di kolej kediaman dan apabila adanya pertandingan.

Kesannya bukan kecil. Pendekatan sebegini dengan menyampaikan kata-kata yang selari dengan jiwa mereka sering mendorong mereka untuk turut serta dalam aktiviti kolej yang dianjurkan.

Perkataan yang anda sebutkan menggambarkan budaya hidup.

“Semalam cikgu minta kita sediakan contoh ucapan perpisahan dari mana-mana sumber,” kata Zuraidah kepada rakan sekelasnya, Nadia.

“Jangan bimbang, petang semalam saya sudah dapatkan melalui internet,”jawab Nadia.

Zuraidah membalas kembali, “Tolong simpankan dalam disket, nanti saya ambil.”

“Sudahkah awak dapatkan vcd yang saya minta?” tanya Nadia pula kepada Zuraidah.

Ramai tidak sedar, apa sahaja yang mereka sebutkan dan catatkan sebenarnya memberi gambaran budaya dan cara hidup mereka. Perbandingan hidup dahulu dan kini dan jenis perkataan yang digunakan dapat dilihat dengan jelas.

Sekitar akhir tahun 80an dan awal tahun 90an, penggunaan komputer bukanlah suatu kebiasaan di kalangan pelajar. Jarang sekali untuk mendengar pelajar bercerita mengenainya.

Berbeza pula dibandingkan dengan apa yang berlaku pada hari ini. Istilah-istilah seperti internet, disket, vcd adalah antara istilah-itilah yang kerap disebut oleh para pelajar hari ini. Ia menunjukan cara hidup yang terdedah dengan teknologi dan penting dalam aktiviti seharian mereka.

Sekiranya penulis bertanyakan kepada mana-mana rakan, “Di mana saya boleh dapatkan pita video filem ini?” belum tentu saya mendapat jawapannya, kerana penggunaan pita video tidak popular pada masa kini dan jarang sekali disebut. Boleh jadi mereka akan menggaru kepala dan memandang penulis dengan wajah kehairanan.

Semakin kerap perkataan yang menggambarkan sesuatu disebut, ia bermakna semakin penting perkara itu dalam kehidupan seseorang. Samalah seperti kehidupan orang Eskimo. Mereka mempunyai 23 perkataan berbeza untuk salji.

Samalah seperti jika kita didatangi rakan yang bertanya sama ada kita menonton sebuah rancangan televisyen, kemudian soalan yang sama ditanya pada hari yang sama pada minggu berlainan, ia bermakna rancangan televisyen tersebut sangat penting baginya dan sudah menjadi sebahagian rutin hidup.

Sunday, February 05, 2006

Membina perhubungan melalui bicara.

Salah satu perkara penting dalam mengembangkan dan menilai konsep kendiri adalah dengan melihat reaksi dan tindak balas orang lain terhadap pendedahan kendiri. Pendedahan kendiri berlaku apabila anda dengan sengaja mendedahkan maklumat peribadi anda terhadap orang lain yang tidak akan diketahui melainkan jika diberitahu.

Kita boleh mengagak umur, ketinggian dan berat dengan sekadar melihat. Tetapi mustahil untuk menjangka secara tepat melainkan anda diberitahu. Pendedahan kendiri bukan sahaja membantu orang lain memahami anda, ia juga menandakan tahap kepercayaan dan penerimaan orang lain terhadap anda.

Hubungan yang lebih baik dalam persahabatan mahupun kekeluargaan tidak akan mencapai peringkat yang lebih erat tanpa pendedahan kendiri, sebaliknya ia sekadar perhubungan palsu atau secara terpaksa kerana sebab-sebab tertentu. Anda boleh menilai konsep kendiri orang lain dan diri anda sendiri hanya apabila kedua-dua pihak bersedia mendedahkan diri antara satu sama lain.

Tahukah anda mengapa salah seorang rakan yang anda kenali di anggap sebagai rakan karib? Hatta diri penulis juga mempunyai rakan karib. Tanpa ragu-ragu, salah satu karateristik yang menjadikan seseorang itu sebagai rakan paling akrab dengan diri anda ialah kesediaan kedua-dua pihak berkongsi maklumat peribadi.

Apabila anda bersama dengannya, anda bersedia untuk berkongsi rahsia diri, buruk atau baik berbanding rakan-rakan lain yang mengenali anda secara luaran. Dua orang penyelidik, Irwin Altman dan Dalmas Taylor telah memperkenalkan model ‘penembusan sosial’ (social penetration). Cuba anda bayangkan sebiji kek berbentuk bulat. Ia mewakili semua maklumat berkenaan diri anda yang berkemungkinan didedahkan kepada orang lain.

Kek tersebut dipotong dan dibahagi-bahagikan mengikut saiz yang sama. Setiap bahagian mewakili sebahagian daripada diri anda. Contohnya, beberapa bahagian kek tersebut mewakili diri anda yang berkaitan dengan aktiviti, kepercayaan dan agama, keluarga, sekolah, ketakutan, pengalaman hidup atau apa sahaja yang berkaitan.

Di bahagian tengah kek diibaratkan sebahagian maklumat yang bersifat sangat peribadi semakin lama seseorang itu memakan kek tersebut, semakin banyak maklumat yang akan dimiliki olehnya. Sebanyak mana bahagian kek kehidupan yang ingin anda kongsi, terpulang kepada anda.

Untuk mendedahkan maklumat diri anda kepada orang lain, pertama sekali anda perlu menyedari tentang diri anda terlebih dahulu. Kesedaran kendiri, ialah kefahaman terhadap diri secara sedar. Dengan memikirkan tentang diri, bertanyakan kepada orang lain dan mendengar apa yang disampaikan berkenaan diri anda adalah proses kesedaran kendiri.

Salah satu kaedah yang boleh dilakukan untuk memahami diri anda adalah dengan menggunakan model Tetingkap Johari (Johari Windows) yang diperkenalkan oleh Joe (Joseph Luft) dan Harry (Harry Ingham). Lontarkan pandangan anda melihat sebuah tingkap yang mempunyai kerangka 4 segi yang dibahagikan kepada empat bahagian. Kita wakili setiap bahagian sebagai kuadran pertama hingga ke empat yang mempunyai karakteristik seperti berikut;

Kuadran pertama

Ia dipanggil sebagai ‘kawasan terbuka’. Mengandungi maklumat diri yang diketahui oleh anda dan orang lain. Apabila anda bersifat lebih terbuka terhadap orang lain maka kuadran ini akan terus membesar. Umur atau pekerjaan adalah antara maklumat yang anda letakan ke dalam kuadaran ini.

Kuadran kedua

Ia dikenali sebagi sebagai ‘kawasan buta’. Mengandungi maklumat diri yang diketahui oleh orang lain terhadap diri anda, tetapi anda sendiri tidak mengetahuinya. Penulis masih ingat salah satu jenaka yang selalu dilakukan di sekolah ialah melekatkan kerta yang bertulis ‘Pukul Saya’ di belakang pelajar lain. Begitulah sifat kuadran kedua. Anda mungkin merasakan diri anda seorang yang suka membantu, tetapi rakan-rakan lain melihat anda seperti ingin mengambil hati orang lain untuk kepentingan diri.

Kuadran ketiga

Ia dipanggi sebagai ‘kawasan tersembunyi’. Mengandungi maklumat diri yang diketahui diri anda sendiri tanpa diketahui umum. Ia mungkin melibtakan perasaan anda terhadap orang lain, perkara-perkara memalukan yang pernah berlaku terhadap diri. Kawasan tersembunyi ini tidak sewajarnya didedahkan kepada orang lain, ia boleh digunakan sebagai cermin untuk memperbaiki diri.

Kuadran ke empat.

Ia dikenali sebagai ‘kawasan tidak ketahui’. Baik anda mahupun orang lain tidak mengetahui maklumat tentang diri. Ia bergantung sama ada anda masih belum mengenali diri anda sepenuhnya atau tindak balas anda terhadap sesuatu yang belum berlaku atau perkara-perkara diketahui oleh Tuhan.

Selepas ini anda bebas untuk memilih dan melakar sama ada kek kehidupan atau tetingkap diri untuk lebih mengenali diri sebelum bersedia mendedahkan rahsia diri terhadap orang lain

Piramid pendedahan diri

Anda sedang menaiki bas dalam perjalan pulang ke kampung, di sebelah anda seorang lelaki tua berumur sekitar 53 tahun. Ketika anda sedang menikmati makanan yang dibawa sebagai alas perut, anda dengan memberi salam dan senyuman mempelawa lelaki tua untuk makan bersama. Bermula dari ketika itu, anda saling berbual dan bertukar-tukar fikiran.

Anda mula mengenali lelaki tua tersebut, beliau merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti dan dahulu graduan universiti luar negara, masih belum berkahwin tetapi mempunyai dua orang anak angkat, beliau gemar menaiki bas kerana baginya kos murah berbanding berkereta.

Beliau menceritakan zaman mudanya, secara tidak langsung berkait dengan kehidupan bujangnya. Lelaki tua ini sangat gemar membaca novel HM Tuah Iskandar yang dianggap sebagai motivator Muslim kontemporari abad 21. Anda terus mendengar sehingga tiba ke destinasi dua jam kemudian.

Anda mungkin pernah mengalami keadaan sebegini meskipun dalam corak yang berlainan. Melalui kisah di atas penulis ingin berkongsi apakah karakteristik yang memungkinkan pendedahan kendiri berlaku.

Pendedahan kendiri berlaku secara berperingkat.

Sekiranya anda mengalami situasi di atas kemungkinan anda tidak akan berasa selesa kerana apa yang anda ketahui tentang orang tua itu mungkin terlalu banyak dalam asa yang singkat. Kebanyakannya, mendedahkan maklumat peribadi sedikit demi sedikit mengikut peringkat masa untuk memberi lebih ruang kepada diri anda dan orang lain memahami diri anda secara jelas.

Pendedahan kendiri bergerak dari maklumat umum kepada peribadi.

John Powell pengarang buku ‘Why am I afraid to tell you who I am’ mengatakan terdapat lima peringkat pendedahan kendiri.

Peringkat lima: Komunikasi ‘Cliché’.

Pertama sekali anda mewujudkan hubungan secara lisan dengan mengatakan sesuatu yang menandakan anda dan orang lain menyedari kehadirannya di samping anda. Memberi salam sejahtera dan salam perkenalan, ‘”Assalamualaikum”, “Ni hao ma”, “Apa khabar” atau seumpamanya dalam apa jua bahasa adalah komunikasi ringkas yang menggambarkan keinginan untuk untuk berkenalan secara ringkas dan bersifat luaran. Malah jika seseorang menegur anda dengan ramah misalnya, “Rajin nampak?” atau sekadar senyuman, ia dikatogerikan sebagai komunikasi peringkat ini.

Peringkat empat: Maklumat bersifar fakta dan biografi

Selepas peringkat tersebut dan menerima tindak balas, kita akan mendedahkan maklumat diri yang bersifat umum seperti nama, asal usul, pekerjaan dan pendidikan.

Peringkat tiga: Sikap dan idea peribadi

Selepas mengetahui nama dan beberapa maklumat umum, anda mula berbual-bual dan mendedahkan sikap dan idea anda terhadap sesuatu yang masih bersifat umum untuk mengelakan sebarang kontroversi dengan hanya menyentuh topik-topik dalam zon ‘selamat’.

Peringkat dua: Perasaan peribadi

Pada peringkat ini, anda membawa diri dalam membincangkansesutau isu yang lebih bersifat peribadi , risiko dan kepercayaan adalah sesuatu yang amat ditekan dalam peringkat ini.

Peringkat satu; Komunikasi puncak.

Peringkat ini jarang dicapai oleh mana-mana individu kerana tidak semua yang bersifat rahsi aperibadi akan disampaikan meskipun di kalangan ahli keluarga sendiri. Ia terlalu berisiko dan terlalu bersifat terbuka. Bagaiaman anda melihat situasi di awal rencana dengan lima peringkat komunikasi?

Pendedahan Kendiri bersifat timbal balik.

Apabila anda berkongsi sesutau dengan orang lain, anda juga mengaharapkan keadaan yang sama dilakukan terhadap anda. Jika anda memperkenalkan diri dengan nama penuh, sudah pasti anda ingin mengenali individu yang sedang berinteraksi dalam keadaan yang sama. Misalnya anda dalam aktiviti dalam kumpulan, dengan memperkenalkan diri seperti, “Ida Mashani Bt Ahmad Tarmizi” kemudian rakan-rakan dalam kumpulan hanya memperkenalkan diri sebagai ‘Sue’, ‘Jenny’ atau seumpamanya, adakah ia bersifat timal balik?

Pendedahan Kendiri melibatkan risiko.

Meskipun pendedahan kendiri diumpamakan sebagai batu bata yang disusun untuk membina tembok persahabatan. Anda perlu beringat bahawa, sekali anda menyampaikan maklumat diri terhadap orang lain, maklumat tersebut mungkin akan tersebar. Ini adalah risiko pertama.

Risiko kedua melibatkan penolakan seseorang terhadap anda. Adakalanya mendedahkan diri akan mewujudkan sikap tidak suka orang lain terhadap anda dan keadaan ini cukup melukakan. Ia bergantung kepada tindak balas anda berhadapan secara positif atau sebaliknya.

Pendedahan Kendiri melibatkan amanah

Dengan mengenali seseorang secara peribadi bermaksud anda mempunyai kuasa atau kawalan terhadap individu tersebut. Anad mempunyai kuasa untuk mendedahkannya terhadap orang lain. Tetapi ia melambangkan sikap anda yang tidak beretika, tidak amanah jauh sekali untuk dipercayai atau di anggap sebagai seorang insan.

Menggunakan maklumat peribadi orang lain untuk memanipulasi adalah sikap menyalah gunakan sesuatu. Pakar psikologi British, Michael Argyle, Monica Henderson dan Adrian Furnham telah mengenalpasti salah satu perkara pali tinggi yang diharapkan oleh seorang rakan ialah amanah dalam menjaga rahsia. Apabila anda berkata terhadap diri, “Saya akan menjaga rahsianya.” Lakukannya.

Konsep pendedahan kendiri

Dalam membincangkan konsep pendedahan kendiri, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi anda terhadap apa yang ingin anda dedahkan. Antara faktor-faktor tersebut meliputi siapakah diri anda, budaya, jantina, pendengar dan topik yang ingin disentuh.

Siapakah diri anda

Anda mungkin seorang yang mempunyai tingkat sosial tinggi atau rendah yang mempengaruhi topik yang dikongsi. Kebiasaannya, mereka yang mempunyai kebimbangan dalam melibatkan diri dengan orang ramai mempunyai kadar pendedahan kendiri yang rendah. Mereka yang cekap mengurus dan mempunyai daya keyakinan yang tinggi mempunyai kadar pendedahan kendiri yang tinggi kerana sikap yang sentiasa positif dan bersedia mengambil risiko.

Budaya

Budaya yang berbeza membawa kepada penafsiran pendedahan kendiri yang berbeza. Masyarakat di Amerka Syarikat mempunyai tingkat pendedahan kendiri lebih tinggi berbanding di Britain, Jerman dan Puerto Rico berdasarkan kaian Gudykust pada tahun 1983.

Di Malaysia, secara umumnya, kita tidak gemar menceritakan perihal diri meliputi masalah peribadi terhadap orang lain. Tahun 2003, menunjukan 20 peratus pelajar mengalami tekanan mental kesan daripada sikap suka berahsia yang keterlaluan.

Anda mungkin pernah menonton filem Buli lakonan Afdlin Shauki dan Nasha Aziz. Nordin, watak lakonan Afdlin menggambarkan sikap suka merahsiakan masalah sehingga hampir mencederakan diri dan orang lain sehinggalah dibantu oleh pakar psikitari, doktor Ika lakonan Nasha Aziz

Terdapat juga budaya yang melihat pendedahan kendiri melambangkan seseorang itu lemah. Di Mexico, masyarakatnya berdasarkan kajian Wheeles dan Grotz pada tahun 1977 mendapati mereka akan membincangkan semua perkara dalam keadaan positif begitu juga melibatkan pendedahan kendiri.

Jantina.

Kecenderungan wanita berbanding lelaki dalam pendedahan kendiri adalah lebih tinggi. Keadaan ini lebih bayak berlaku apabila berada dalam kelompok jantina yang sama. Anda mungkin pernah mendengar istilah ‘pillow talk’ sehinggakan ia menjadi satu rancangan televisyen tempatan. ‘Pillow talk’ adalah keadaan di mana satu kumpulan wanita akan membicarakan pelbagai perkara dari bersifat umum kepada peribadi, keadaan ini berlaku asrama wanita atau kolej kediaman di kampus atau mereka yang menyewa serumah.

Baik lelaki atau wanita, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri untuk mengelak pendedahan kendiri.

Pendengar

Pendedahan kendiri lebih banyak melibatkan kumpulan kecil berbanding kumpulan besar. Antara anda dan seorang rakan adalah kedudukan yang sesuai untuk proses ini kerana anda berpeluang mendengar dan memberi respon yang lebih baik dan teliti. Anda boleh melihat perubahan yang berlaku kepada rakan yang mendengar dan bersedia berhenti untuk berkongsi maklumat jika perlu.

Dalam kelompok lebih besar, ia kebiasaannya melibatkan persatuan atau pertubuhan tertentu. Misalnya, PEMADAM, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia di bawah unitnya, PENAWAR bertindak sebagai badan rujukan dan sokongan kepada ahli-ahli keluarga penagih yang disebut sebagai golongan penderita sepi atau "silent sufferers

Pendengar anda mungkin seorang yang sebaya, yang anda suka yang bersikap menyokong malah dalam dunia internet anda turut berkongsi rahsia diri terhadap rakan yang tidak anda kenali. Ini memudahkan anda kerana rakan tersebut mengetahui rahsia anda tetapi bukan di mana anda tinggal, pekerjaan atau siapakah anda.

Topik

Pendedahan kendiri turut dipengaruhi topik yang ingin anda sampaikan. Mungkin anda suka bercerita tentang hobi, dan pekerjaan tetapi tidak mahu berkongsi kisah impian dan cita-cita hidup. Anda hanya menumpukan kepada maklumat yang disukai bukan sebaliknya.

Kelebihan dan Risiko pendedahan kendiri

Pendedahan kendiri mempunyai kelebihan yang tersendiri jika anda memahami apa yang anda lakukan secara sedar dan bertindak mengikut kaedah dan cara yang betul berdasarkan pandangan peribadi yang seimbang. Kajian demi kajian membuktikan seseorang akan memperolehi tiga bentuk kebaikan daripada proses pendedahan kendiri.

1. "Saya mengenali diri lebih baik lagi."

Salah satu ganjaran daripada pendedahan kendiri ialah anda akan memperolehi perspektif baru mengenai diri dan memahami lebih mendalami tentang tingkah laku serta tabiat anda.

Melalui pendedahan kendiri, anda akan menganalisa diri secara sedar dan membawa anda kepada pengalaman-pengalaman yang telah lama dilupakan, misalnya seseorang pernah kehilangan insan yang disayangi dalam hidupnya dan merasakan segala-galanya berubah dan lemah dengan keadaan sedemikian.

Sebaliknya, pengalaman yang dialaminya mungkin menyedihkan, tetapi disebabkan kesediaannya berkongsi kisahnya terhadap seseorang yang dipercayai, dia mula mengingati kisah-kisah hidupnya terdahulu dan sedar bahawa sifat menghargai orang lain merupakan kekuatannya selama ini ketika insane tersebut masih hidup. Oleh kerana itu, dia memperkuatkan rasa menghargai terhadap setiap insan yang dikenalinya dan menerima kehilangan tersebut.

Anda mula berasa positif dan menjadikan pengalaman sebagai guru. Sukar bagi menerima hakikat diri tanpa pendedahan kendiri kerana kecenderungan manusia menerima dirinya berdasarkan kaca mata orang lain. Ia memerlukan pengubah suaian dari sudut perspektif terhadap diri anda dan orang lain jika mahu mengenal diri.

2. "Perhubungan dan komunikasi saya bertambah baik."

Anda akan lebih mudah memahami tingkah laku seseorang sekiranya anda meluaskan jarak hubungan terhadap seseorang. Misalnya, anda mengetahui bila waktunya sahabat anda bergurau, ketakutan, kebimbangan atau serius. Melalui pendedahan kendiri, anda mula mengenalpasti keadaan-keadaan ini.

Kajian menunjukkan proses persahabatan yang melalui proses pendedahan kendiri yang telus dan terbuka mempunyai ikatan yang lebih lama berbanding mereka yang tidak.

Tanpa pendedahan kendiri, perhubungan yang bermakna tidak dapat dibentuk, kerana itu wujud keadaan di mana rakan berasa tertipu walaupun setelah menjalinkan ikatan persahabatan apabila salah seorang berniat menyembunyikan sesuatu dan keadaan itu terbongkar kerana faktor ketiga seperti rakan-rakan lain, masyarakat, atau catatan-catatan bertulis seperti jurnal dan diari.

Oleh demikian, sebelum membina perhubungan yang membawa kepada ikatan, pendedahan kendiri melibatkan perkara-perkara serius adakalanya perlu agar satu pihak lain tidak makan hati atau keadaan menjadi lebih buruk lagi.

3. "Tubuh dan minda saya bertambah sihat."

Mereka yang melalui proses pendedahan kendiri akan berhadapan risiko yang lebih rendah melibatkan penyakit-penyakit fizikal berbahaya. Mereka yang berhadapan dengan trauma, menyimpan masalah sehingga membebankan diri membawa kepada stress dan penyakit seperti migrain, masalah perut dan seumpamanya.

Dalam membincangkan kelebihan-kelebihan pendedahan kendiri, seseorang turut berhadapan dengan risiko-risiko yang tersendiri yang turut diambil kira sebelum anda bersedia mendedahkan diri terhadap orang ramai bergantung kepada keperluannya. Terdapat 3 bentuk risiko yang perlu dihadapi seseorang apabila melalui proses ini.

1. "Saya berhadapan dengan risiko peribadi."

Pendedahan kendiri memberi kesan terhadap kehidupan peribadi anda. Misalnya seseorang mempunyai penyakit yang tidak dapat diubati, individu tersebut mungkin berhadapan dengan penolakan dari rakan karib dan ahli keluarga sendiri berbeza dari sebelumnya. Mereka mungkin akan menilai anda sebaliknya, sama ada anda perlu didekati atau dijauhi.

2. "Perhubungan saya akan berisiko."

Dalam proses pendedahan kendiri, perhubungan yang sangat rapat dan melalui jangka masa yang lama turut berhadapan dengan risiko. Ini kerana ia melibatkan nilai kepercayaan, ikatan, persamaan yang telah mendekatkan diri dengan orang lain. Kelemahan kendiri seperti pengalaman jenayah, keterlanjuran, ketakutan terhadap sesuatu yang didedahkan mungkin mengakibatkan kesan negatif terhadap perhubungan.

3. "Karier saya akan berhadapan risiko."

Seorang pemimpin sebuah persatuan pelajar menemui seseorang untuk mendapatkan bantuan. Tidak beberapa lama kemudian, kisah peribadinya terdedah kerana sikap tidak amanah si pendengar Kesannya, beliau kehilangan kepercayaan dan jawatan sebagai pemimpin persatuan pelajar tersebut kerana ahli persatuan lain merasakan beliau tidak layak memimpin kerana beliau sendiri berhadapan dengan masalah.

Risiko terhadap karier yang tergugat boleh berlaku sekiranya seseorang mendedahkan rahsia diri mereka. Perlu diingat, seawal perbincangan, salah satu ciri komunikasi ialah ia tidak boleh berpatah balik. Seseorang tidak boleh menarik kata-katanya apabila ia sudah diucapkan di hadapan umum.

Sekiranya anda mempunyai sebarang permasalahan atau kisah gembira atau duka yang ingin dikongsi bersama berkaitan dengan komunikasi interpersonal sesama teman, keluarga dan rakan

Persoalan kini, apa yang boleh saya lakukan untuk mendedahkan rahsia diri? Oleh kerana pendedahan kendiri merupakan salah satu perkara penting yang menjadi elemen kehidupan manusia, panduan untuk mengaplikasikannya penting agar pendedahan rasa diri yang dilakukan oleh seseorang sentiasa berada di tengah-tengah penyelesaian. Terdapat 4 cara yang dicadangkan bagaimana untuk mendedahkan rahsia kendiri sebelum anda bercadang melakukannya.

1."Mengapa saya perlu lakukannya?"

Pendedahan kendiri hanya perlu apabila ia melibatkan kepentingan perhubungan yang melibatkan diri dan orang lain. Ia bukannya untuk suka-suka atau sebagai penyedap bual bicara.

Ada sebahagian individu menjadikan pendedahan kendiri sebagai cara menyakiti hati orang lain. Ada pula yang menjadikan pendedahan kendiri sebagai hukuman terhadap diri kerana rasa bersalah dan konflik yang tidak selesai.

Sebaiknya, pendedahan kendiri hanya perlu apabila ia digunakan untuk kebaikan diri dan bersifat produktif bagi diri dan orang sekitarnya, lihat keuntungan dan kelebihan disebaliknya.

2."Adakah cara saya berkongsi rahsia diri kena pada tempatnya?"

Pendedahan kendiri perlulah sesuai dari sudut kandungan dan bentuk hubungan anda dengan pendengar. Tanyakan pada diri anda, adakah ia pada masa dan di tempat yang sesuai? Adakah masa lain atau tempat yang lebih baik untuk saya berkongsi rahsia diri ini dengannya? Tanyakan juga pada diri anda, perlukah ia dilakukan demi perhubungan kami?

Peringkat awal perhubungan persahabatan, tidak digalakan bagi seseorang mendedahkan rahsia kendirinya yang bersifat negatif kerana tidak wujud unsur-unsur penerimaan dan keterbukaan dalam tempoh perkenalan yang singkat.

3."Adakah orang lain mendedahkan rahsia kendirinya?"

Ketika anda mendedahkan rahsia kendiri, beri peluang dan keadaan yang sama untuk orang lain melakukan perkara yang sama. Jika ia tidak berlaku, sebaliknya anda sahaja yang bersedia berkongsi rahsia diri, hentikan dari melakukannya.

Mungkin ini merupakan tanda bahawa individu tersebut tidak bersedia mendengarnya pada masa tersebut atau cara anda melakukannya tidak sesuai pada tempatnya.

Pendedahan kendiri berlaku pada jangka masa yang panjang dan bergerak sedikit demi sedikit bukan sebaliknya. Ini membantu anda melihat respon pihak yang mendengarnya.

4."Apakah beban yang akan saya pikul selepas ini?"

Berhati-hatilah ketika menimbang potensi masalah atau bebanan yang akan timbul ketika pendedahan kendiri. Adakah anda mampu berhadapan dengan kehilangan atau risiko? Bagaimana pula dengan pendengar yang mempunyai hubungan dengan anda?

Misalnya, ibu-bapa meletakan permasalahan keluarga terhadap anak-anak secara tidak seimbang dengan bercerita tentang rahsia diri dan masalah keluarga yang terlalu besar terhadap anak-anak tanpa penyesuaian dengan tidak memikirkan kemampuan emosi dan pemikiran kanak-kanak tersebut untuk berhadapan dengan masalah tersebut.

Persepsi diri, biar kena pada caranya

Persepsi merupakan salah satu perkara yang perlu diambil perhatian dalam meningkat kualiti diri dan komunikasi dengan orang lain. Persepsi dimaksudkan sebagai satu keadaan bagaimana kita sedar tentang perkara-perkara sekeliling khusunya orang ramai dan peristiwa melalui deria penglihatan, rasa, bau, sentuhan dan pendengaran. Ia merupakan satu keadaan yang sentiasa aktif berlaku.

Persepsi atau gambaran dan bayangan yang timbul dalam hati atau fikiran berpunca daripada himpunan pengalaman, keinginan, keperluan, kehendak dan emosi seperti kebencian atau menyukai terhadap sesuatu. Kesemua perkara ini membentuk persepsi dan diterjemah melalui gaya komunikasi kita dengan orang lain. Sejauh mana kita boleh menerima sesuatu yang disampaikan bergantung kepada bagaimana kita melihat dunia ini secara keseluruhan, situasi yang berlaku dan apa yang difikirkan anda terhadap individu di hadapan anda. Begitu juga sebaliknya.

Kerana persepsi, kita kerap menukar gaya percakapan, topik, gaya bahasa dan cara berinteraksi terhadap orang lain. Misalnya, jika anda melihat seseorang yang berpakaian sukan anda akan mengandaikan beliau merupakan seroang yang cenderung terhadap sukan dan kecergasan fizikal. Maka, kebiasaanya anda akan menimbulkan topik tersebut dalam perbualan anda dengannya.

Begitu juga jika anda mengenalpasti intonasi suara yang agak serius nadanya dari seseorang. Gaya bahasa dan perbualan anda mungkin tidak diselangi perkara melucukan kerana menurut andaian anda beliau seorang yang serius. Perkara asas dalam membentuk persepsi yang seimbang ialah memahami bagaimana caranya anda membentuk andaian terhadap orang lain sebelum ini.

“Perkara yang terdahulu sering menjadi sumber rujukanku.”

Persepsi terhadap seseorang boleh terbentuk berdasarkan maklumat yang kita perolehi dahulu. Sebelum ini anda pernah mendengar dari rakan-rakan sekeliling bahawa pelajar baru di kelas merupakan seorang yang cerdas dalam pelajaran dan aktif dalam gerak kerja sukan. Maklumat awal ini membuatkan anda membentuk persepsi bahawa pelajar tersebut seorang yang bijak menguruskan kehidupannya.

“Apa yang berlaku kini adalah gambaran sebenar.”

Ada ketikanya kita membentuk persepsi melalui maklumat terkini yang kita perolehi dengan menidakkan maklumat yang tedahulu. Sebagai contoh, jika sebelum ini anda mengandaikan bahawa rakan yang anda kenali merupakan seorang yang jujur terhadap orang lain termasuk terhadap diri anda. Tetapi disebabkan sau peristiwa, beliau berbohong. Maka berdasarkan keadaan tersebut anda mengandaikan bahawa beliau sebenarnya seorang pembohong sebelum ini. Dengan erti kata lain, sekali perbuatan boleh menghilangkan tindakan lain yang dilakukannya selama bertahun-tahun.

“Setiap yang dilihat memberi makna.”

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Soloman Asch, beliau meminta sekumpulan individu menyenaraikan perkataan-perkataan yang menggambarkan ciri-ciri dua orang di hadapan mereka. Selepas itu, hasil yang ditunjukan menunjukan perkara yang berbeza. Individu pertama digambarkan dengan perkataan-perkataan seperti bijak, kritikal, keras kepala dan sebagainya. Manakala individu kedua, digambarkan sebaliknya. Soloman mendapati, individu pertama mendapat persepsi yang positif dari mereka.

Keadaan ini yang berlaku di awal pertemuan kita dengan seseorang yang ingin dijadikan sahabat. Kita membentuk persepsi terhadapnya melalui gambaran fizikalnya. Malah dalam masyarakat tempatan, jenayah melibatkan penipuan wang berlaku kesan daripada tindakan penjenayah yang membentuk imej fizikal yang bersih, kemas dan profesional.

“Semuanya saling berkait satu sama lain”

Ada ketikanya persepsi dalam minda terbentuk kerana kita mengaitkan satu perkara dengan perkara lain. Umpamanya anda bertemu dengan seseorang yang sentiasa gembira. Mungkin anda mengaitkan sifat gembiranya itu berkaitan dengan sifat peramah meskipun anda masih belum pasti dengan keadaan tersebut. Adakalanya keadaan ini membawa kepada persepsi yang salah kerana tidak semua sifat yang dilihat akan berkait rapat dengan sifat yang lain, bergantung kepada jenis individu yang anda temui.


Mungkin anda cenderung melihat sesuatu yang anda suka atau sebaliknya. Misalnya anda cenderung untuk menyukai seseorang, sudah pasti anda akan menyenaraikan setiap ciri yang positif terhadapnya meskipun ia belum tentu benar. Begitu juga terhadap individu yang anda kurang gemar, akan wujud senarai negatif yang timbul dalap persepsi anda terhadapnya.

“Semakin lama saya semakin memahami.”

Persepsi yang lebih seimbang wujud apabila telah wujud satu bentuk perhubungan yang lama. Apa yang andaikan dahulu mungkin berubah kerana maklumat tentang dirinya yang semakin banyak anda ketahui sama ada secara pemerhatian, bual bicara atau dari pihak ketiga.

Jika dahulu anda mengandaikan individu tersebut seorang yang tidak terurus dan kurang disiplin kerana cara pemakaiannya yang tidak terurus, mungkin persepsi anda berubah setelah mengetahui individu tersebut mengalami masalah peribadi yang tidak diambil peduli oleh sesiapa sehingga merunsingkannya.

Persepsi yang terbentuk perlu mengambil kira semua keadaan dan kebijaksanaan dalam mengimbangkan gaya pemikiran kita. Ia turut mengambil kira keadaan sekeliling, gaya pemikiran seseorang memahami kesan dan akibat terhadap sesuatu yang berlaku, sumber maklumat yang kita perolehi dan mengenalpasti sama ada setiap yang terjadi akan berpunca dari tindakan yang sama atau sebaliknya. Kita mungkin tidak mampu membentuk persepsi yang tepat kerana setiap individu mempunyai keunikan dan kepelbagaiannya. Namun dalam membentuk komunikasi dan personaliti yang cemerlang, ia perlu bermula dengan persepsi yang seimbang.

Perangkap dalam membentuk persepsi

Untuk membentuk persepsi yang seimbang, kita perlu menyedari terdapat beberapa halangan yang menjadi perangkap yang akan menjerat seseorang dalam membuat penilaian yang kurang tepat dan adakalanya bersifat tidak adil terhadap seseorang baik terhadap rakan, ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang dikenali serta sebaliknya. Terdapat beberapa perangkap yang yang perlu disedari apabila anda mewujudkan persepsi terhadap individu lain.

Maklumat yang penting tidak dipedulikan.

Ada kalanya seseorang tidak fokus terhadap sesuatu maklumat yang penting kerana memberi tumpuan yang lebih terhadap maklumat yang sudah sedia diketahui dan ada yang bersifat palsu. Keadaan ini timbul apabila anda cenderung menjadikan apa yang bersifat fizikal sebagai maklumat yang penting berbanding untuk mengetahuinya lebih mendalam lagi.

Misalnya dalam pemilihan ketua persatuan atau kelab di sekolah, adakah seseorang itu dipilih kerana kelayakannya untuk memimpin, bakatnya atau kerana beliau kelihatan seperti seorang yang boleh memimpin dari sudut fizikalnya. Jika anda diminta memilih berdasarkan latar belakangnya yang cemerlang akademik dan sosialnya berdasarkan maklumat yang dicari, pemilihan anda akan lebih seimbang berdasarkan persepsi yang semakin berkembang.

Maklumat yang sedikit dilihat terlalu penting.

Maklumat yang sedikit dilihat terlalu penting akan membawa anda membentuk persepsi yang tidak tepat, dan kesimpulan bersifat prejudis. Seandainya anda berpeluang mengenali dua orang rakan dari kelas bersebelahan, anda akan memberi andaian mudah bahawa setiap pelajar di kelas tersebut sama seperti dua orang rakan tersebut.

Cenderung mengambil maklumat yang lebih mudah.

Umumnya, seseorang lebih menerima penjelasan yang mudah berbanding yang bersifat kompleks. Jika hari ini anda berjanji untuk mengadakan perbincangan berkumpulan, salah seorang rakan anda lewat selama setengah jam dan kemudian dia memberi alasan, “Maaf tadi saya tertinggal bas.”

Mungkinkah anda lebih mudah menerima alasan tersebut atau anda lebih cenderung menerima pandangan seumpama ini, “Maaf, sebelum ke sini, ibu minta saya membeli barangan di kedai runcit. Malang benar nasib saya, tiba sahaja di kedai runcit saya terlupa membawa wang sehinggakan saya terpaksa berpatah balik. Kemudian saya terlewat untuk menunggu bas hanya kerana keadaan tadi. Jadi saya berjalan hingga ke hujung kampung untuk mengambil bas lain.”

Kebiasaannya kita lebih gemarkan penjelasan yang lebih mudah, ia lebih dipercayai dan difahami untuk memahami tindakan seseorang. Tetapi realitinya, setiap perbuatan kita berpunca dari pelbagai sebab dan ia memerlukan usaha yang lebih untuk memahaminya.

Stereotaip

Stereotaip adalah sesuatu yang biasa tanpa apa-apa yang baru. Unsur-unsur dalam stereotaip ialah cenderung melihat dan mendengar apa yang diingini. Kita memberikan andaian yang sama terhadap seseorang dalam kelompok yang kita bentuk melalui persepsi. Jika seseorang bersikap sebegini, maka anda akan meletakkan andaian yang sama terhadap individu lain. Anda telah mencetak penilaian yang sama, tidak fleksibel terhadap orang lain.

Kecenderungan menolak maklumat yang bertentangan sangat inggi apabila seseorang mempunyai pemikiran stereotaip dalam membentuk persepsi. Misalnya, seseorang lebih cenderung percaya pelajar yang lemah akademiknya akan cemerlang gerak kerja kokurikulum begitulah sebaliknya, walhal ada juga yang berjaya dalam kedua-dua bidang. Namun pemikir stereotaip tidak menerima keadaan ini.

Menjadikan semua keadaan berpunca dari perkara yang sama.

Kecenderungan percaya setiap perbuatan kesan daripada punca yang sama membuat seseorang cenderung bersikap konsisten terhadap kepercayaan tersebut.

Misalnya, anda mungkin pernah melalui sesutau yang memalukan kerana satu tindakan dan apabila anda menyaksikan keadaan yang memalukan dilakukan oleh orang lain, anda akan mula percaya ia disebabkan punca yang sama seperti mana yang anda alami dahulu, sedangkan ia belum tentu benar.

Fokus negatif yang melampau.

Kecenderungan menerima maklumat negatif yang melampau dari yangbersifat positif menjadi halangan persepsi yang seimbang. Jika anda menghadiri mana-mana pemilihan melalui temuduga, mungkin anda diminta menyenaraikan kelemahan dan kekuatan.

Seandainya anda menyenaraikan tujuh kelemahan dan satu kelebihan kepada penemuduga, mana satukah maklumta yang lebih diterimanya? Persepsi sebegini membesarkan perkara yang negatif dan menolak setiap yang positif dalam diri seseorang yang dilihatnya.

Jadilah pendengar yang baik.

Tahukah anda sebanyak 45% masa komunikasi kita banyak dihabiskan untuk mendengar berbanding berbual (35%), membaca (16%) dan menulis (9%) berdasarkan sebuah kajian. Inilah yang berlaku dalam dunia pendidikan hari ini, anda menumpukan kebanyakkan masa pembelajaran di kelas untuk mendengar dan bersuara apabila di penghujung waktu melalui sesi soal jawab antara guru dan murid. Sedar atau tidak, melatih diri anda menjadi pendengar yang baik secara langsung membentuk personaliti anda agar peka kepada orang lain.

Bayangkan seorang sahabat yang anda kenali dan paling rapat dalam hidup. Mengapa individu yang dipanggil sahabat karib dalam hidup anda sentiasa lekat di hati dan fikiran. Tidak lain tidak bukan, kerana sahabat karib adalah sahabatyang sedia mendengar. Anda lebih mudah cenderung kepada individu yang bersedia mendengar cerita pahit manis anda dan inilah salah satu karakter personaliti yang cemerlang.

Seorang ahli teologi, Henri Nouwen mengatakan mendengar bukan sahaja proses bagi seseorang berhenti seketika untuk memberi peluang orang lain berkata-kata sebelum memberi respon, Mendengar adalah memberi sepenuh perhatian dan menerima individu tersebut dalam hidup anda.

Anda boleh menjadi pendengar yang baik sebagai cara untuk belajar dari orang lain. Donald Trump, seorang jutawan hartanah di Amerika Syarikat yang kini popular dengan rancangan Apprentice mendedahkan rahsia bagaimana beliau menjadi kaya dengan sikap suka mendengar. Katanya, apabila pertama kali berurusan dengan seseorang yang baru dikenalinya, beliau tidak akan sekali-kali menceritakan segala-galanya berkenaan urusniaga tersebut. Sebaliknya, Trump akan sekadar menyebut satu dua perkara dan membiarkan individu tersebut menceritakan segala-galanya. Dari situ beliau mengetahui sama ada individu tersebut benar-benar berminat untuk berurus niaga dengannya atau sekadar untuk menunjuk-nunjuk.

Anda perlu mengenalpasti apakah gaya pendengaran yang anda miliki sekarang agar anda tahu menggunakannya sebaik-baiknya. Gaya pendengaran bermaksud bagaimanakah anda menerima cara orang lain berkomunikasi dengan anda dengan cara yang paling selesa untuk diterima. Penyelidik Kitty Watson, Larry Barker dan James Weaver mengenalpasti empat gaya pendengaran yang dipraktikan oleh orang ramai.

01. Pendengar berorientasi orang lain.

Pendengar dalam kelompok ini lebih menggunakan pendekatan rasa hati apabila mendengar apa sahaja yang dibicarakan. Mudah berempati terhadap perasaan dan emosi orang lain adalah karakter utamanya. Pendengar mewujudkan ikatan peribadi dengan individu tersebut dan cenderung menjadikan dirinya sebahagian dari kisah yang disampaikan kepadanya. Kelompok ini mudah mendampingi orang lain sama ada dalam kumpulan kecil atau secara peribadi. Sekiranya anda mudah mengalirkan air mata dengan kisah orang lain, bergembira dengan kejayaan individu lain ia menandakan anda menggunakan pendekatan ini untuk berkomunikasi melalui gaya pendengaran ini.

02. Pendengar berorientasi tindakan.

Pendengar dalam kelompok ini lebih cenderung mendengar sesuatu yang jelas, tersusun butir bicaranya, ringkas dan tidak ada kesilapan atau keraguan dalam mesej yang disampaikan. Tidak suka kepada mesej yang berjela-jela dan menyimpang dari topik asal adalah ciri-ciri utamanya. Sekiranya anda mudah rimas dengan cerita yang panjang, berasa tidak senang duduk apabila anda tidak dapat menangkap maksud mesejnya yang belum ada titik noktah, mudah memahami mesej yang ringkas maka anda menggunakan gaya pendengaran ini. Para pengkaji mendapati mereka yang mempunyai gaya pendengaran ini mempunyai kecenderungan untuk membuat andaian kedua dalam mesej yang diterimanya. Sikap untuk mentafsir semula mesej yang diterimanya bertujuan untuk memastikan mesej yang diterima adalah tepat.

03. Pendengar berorientasi isi kandungan.

Pendengar dalam kelompok ini lebih cenderung mendengar mesej yang mendalam, teliti dan kompleks. Mereka dalam kategori ini akan mencari-cari fakta, huraian dan bukti yang wujud dalam mesej yang diterimanya. Sekiranya ciri-ciri ini tidak dipenuhi, maka mesej tersebut akan tertolak. Sebagaimana pendengar berorientasi tindakan, kategori ini berkecenderungan untuk membuat andaian kedua dalam mesej yang diterimanya. Pada masa yang sama mudah untuk mendampingi orang lain sama ada dalam kumpulan kecil atau secara peribadi.

04. Pendengar berorientasi masa.

Pendengar dalam kumpulan ini mempunyai pelbagai agenda di kepalanya. Terlalu banyak perkara yang ingin dibuatnya, maka apa yang didengari harus tidak mengambil masa untuk aktiviti-aktiviti lain. Mereka yang menginginkan mesejyang ringkas dan mudah. Kebiasaannya mereka cenderung melakukan dua perkara dalam satu. Misalnya mendengar radio sambil menaip di hadapan komputer, memandu sambil mendengar radio atau membaca akhbar ketika waktu iklan di televisyen.

Anda berkemampuan untuk mengaplikasi keemapt-empat katogeri gaya pendengaran yang dibincangkan sebelum ini bergantung kepada jenis individu anda berinteraksi, tempat dan masa yang anda luangkan untuk situasi tersebut. Tidak bermakna anda perlu berpegang hanya kepada satu kaedah sahaja semata-mata. Ingatlah bahawa manusia adalah unik dan berbeza-beza, begitu juga pendekatan anda harus berubah-ubah bergantung kepada keadaan.

Pada masa yang sama, seandainya anda sedang berkomunikasi dengan rakan-rakan atau ahli keluarga dan jiran-jiran yang anda kenali, mungkin anda boleh menggunakan pendekatan yang sesuai dengan gaya pendengaran mereka. Ini secara tidak langsung membuat mereka terpikat dengan kepekaan anda terhadap keperluan mereka dan menjadikan mereka akrab dengan anda.

Sekiranya anda seorang pemimpin persatuan, kelab atau menganggotai badan pengawas, anda bermain dengan masa apabila mengendalikan mesyuarat. Maka anda perlu menggunakan gaya pendengaran berorientasi masa dan tindakan. Sebaliknya jika sahabat anda menghubungi anda ingin meluahkan masalah keluarganya, anda boleh menggunakan gaya pendengaran berorientasi orang lain untuknya.

Halangan-halangan menjadi pendengar yang baik.

Tahukah anda bagaimana menjadi seorang pendengar yang baik dapat membuat anda memiliki personaliti yang cemerlang dan dihormati? Terdapat beberapa kelebihan yang bakal anda perolehi apabila menjadikan budaya mendengar secara positif yang bukan sahaja menguntungkan anda, malah pada masa yang sama menjadikan orang lain menghargai kehadiran anda di sekeliling mereka.

Menjadi seorang pendengar yang efektif membuat anda belajar sesuatu. Anda akan mempelajari perkara-perkara baru dari orang lain, menerokai sesuatu yang belum pernah tahu selama ini dan membuat anda mengenali diri dengan lebih mendalam lagi. Misalnya anda mendengar kisah pengalaman rakan anda yang menghabiskan masa cutinya dengan mengikuti ibu bapanya mengerjakan umrah. Anda akan mempelajari darinya bagaimana keadaan bumi Arab dan situasi di Mekah. Mungkin juga anda akan mula mengetahui gaya hidup masyarakat dari pelbagai negara yang beragama Islam datang untuk menunaikan ibadah bersama-sama.

Mendengar secara efektif membantu anda merapatkan hubungan yang sedia ada. Ramai yang salah sangka bahawa dengan banyak berkata-kata itulah caranya untuk merapatkan hubungan dengan rakan-rakan dan ahli keluarga. Andaian yang salah, sebaliknya dengan menjadi ramah dan pada masa yang sama mendengar apa yang disampaikan orang lain akan menimbulkan penerimaan orang lain terhadap anda. Percaya atau tidak, anda juga menjadi popular disebabkan sikap suka mendengar yang menandakan anda memberi perhatian dan sokongan kepada kata-kata yang disampaikan.

Tambahan lagi, pendengar yang efektif mempunyai kesan dan pengaruh ke atas sikap serta kelakuan orang lain sehinggakan anda dihormati oleh individu-individu yang terlibat. Keadaan ini berlaku kerana mereka menganggap anda mempunyai perasaan dan menyediakan ruang untuk memahami mereka. Jika anda seorang pengerusi sebuah persatuan atau kelab, anda akan menjadi pemimpin yang mudah diikuti sekiranya anda memberi peluang untuk mereka memberi cadangan atau apa-apa idea untuk kebaikan persatuan tersebut.

Selain itu, menjadi pendengar yang baik adalah saluran hiburan yang seimbang jika tahu bagaimana hendak melakukannya. Mengapa sesetengah orang gemarkan muzik yang pelbagai genre di pasaran hari ini? Muzik adalah salah satu cara menjadikan pendengaran cara berhibur. Anda mungkin pernah mengingati bait-bait lagu kegemaran, malah pernah pula menyanyikannya. Hanya satu kemungkinan sahaja yang memungkinkan anda melakukan perkara sedemikian, iaitu anda mendengar dengan teliti dan menghayatinya.

Pendengar yang baik adalah pembantu yang baik. Sebabnya ialah anda bukan sahaja mendengar dengan sepasang telinga semata-mata, tetapi anda membawa ia terus kepada hati untuk merasa empati anda cuba memahami dengan mendalam. Misalnya anda merupakan seorang abang atau kakak yang prihatin akan mendengar keluhan adik yang lebih muda usianya dan cuba membantunya setakat yang anda mampu untuk menggembirakannya.

Namun, kebaikan-kebaikan ini mudah terlindung dengan halangan-halangan yang menganggu anda menjadi seorang pendengar yang baik. Terdapat tujuh halangan yang perlu anda berhati-hati apabila mempraktikan gaya pendengaran yang efektif terhadap rakan-rakan atau ahli keluarga.

01. Ambil mudah dengan orang yang sedia kenali.

Kajian mendapati mereka yang mempunyai hubungan yang akrab dalam satu jangka masa yang lama akan mempunyai tahap tumpuan yang rendah terhadap apa yang didengarinya berbanding apabila berinteraksi dengan individu yang baru dikenali. Bersikap acuh tidak acuh terhadap seseorang yang akrab seperti sahabat karib atau adik beradik terhadap apa yang cuba disampaikan oleh mereka bukanlah sikap yang baik meskipun anda menyangka mereka sudah memahami sikap anda. Kekalkan gaya pendengaran yang betul sebagai menghormati mereka.

02. Khayal di dunia sendiri.

Ketika anda sedang mendengar suara sahabat yang bercerita, pada masa yang sama anda turut mendengar satu suara lain yang bercerita hal yang berbeza. Itulah suara minda yang akan timbul apabila anda tidak menumpukan perhatian dengan apa yang cuba disampaikannya. Keadaan ini berlaku apabila perkara yang disampaikan tidak menarik perhatian atau membosankan sehinggalah timbul cerita baru dalam minda dan berdialog dengan anda.

03. Kejutan emosi dalam perbualan.

Anda mungkin tidak menggemari sesuatu yang anda dengar sehinggakan anda cuba untuk tidak mendengarnya lagi. Kebiasaannya, kata-kata yang kasar, ayat-ayat yang tidak selari dengan sikap dan gaya hidup anda mungkin menimbulkan kejutan emosi dalam perbualan. Misalnya dalam pengalaman penulis yang berasal dari sebuah negeri yang dikatakan sikap penduduknya menggunakan perkataan secara kasar dan intonasi yang meninggi. Ia menimbulkan keadaan yang kurang selesa untuk mereka yang menganggapnya kurang sopan meskipun pengamalannya melambangkan kemesraannya terhadap anda mengikut gaya tersendiri. Keadaan ini dikatakan sebagai kejutan emosi dalam perbualan yang menjejaskan pendengaran yang efektif.

04. Mengkritik individu yang berbual dengan anda.

Fizikal seseorang mudah menjadi sasaran kritikan sehingga melarikan tumpuan untuk mendengar apa yang cuba disampaikan. Dalam sebuah rancangan televisyen tempatan, seorang peserta dalam ujibakat penghibur untuk rancangan realiti dikritik oleh sekumpulan juri kerana gaya penampilannyayang disifatkan teruk dan tidak sesuai. Tetapi beliau diterima kerana mempunyai suara yang merdu. Seandainya juri-juri tadi terus terganggu dengan gaya penampilan peserta tersebut, kemungkinan peserta tersebut gagal. Kejayaannya tidak lain tidak bukan ialah kerana sikap juri yang menutup matanya seketika dan mendengar sesuatu yang penting untuk mereka membuat penilaian. Begitulah juga keadaannya apabila ia melibatkan diri anda.

05. Kata-kata lebih deras dari fikiran.

Ada individu yang sukar mengawal kecepatan kata-katanya sehinggakan menyukarkan orang lain untuk mendengar secara efektif untuk mendapatkan mesej yang sebenar. Anda boleh melakukannya jika anda merupakan peserta pasukan bahas dan pidato yang memerlukan hujah-hujah yang padat disampaikan dalam satu jangka masa tertentu. Tetapi ia tidak bermaksud anda perlu berkata-kata secepat yang mungkin. Kesannya orang lain tidak mempunyai masa untuk memikirkan apa yang didengarinya sebelum ini. Individu normal berkata-kata sebanyak 125 patah perkataan seminit, malah ada yang mencapai 600-800 patah perkataan dalam tempoh tersebut.

06. Terlalu banyak dengan maklumat tidak perlu.

Pelbagai maklumat yang datang dalam bentuk audio menjengah kehidupan anda sebagai pelajar hari ini. Malaysia mempunyai puluhan stesyen radio yang kini kebanyakkannya beroperasi 24 jam sehari. Setiap sejam anda akan mendengar berita terkini di kaca televisyen meskipun dengan mata yang terpejam. Setiap kali anda menghidupkan pemain MP3 mudah alih, anda berkemungkinan sedang mendengar ratusan lagu atau simpanan audio berbentuk dialog, wawancara yang dirakamkan sebelum ini. Dengar ertikata lain, anda dihujani dengan terlalu banyak maklumat. Kebanjiran sumber sebanyak ini akan mengganggu seseorang untuk mendengar secara efektif, apatah lagi untuk mendapatkan mesej yang diingininya. Maklumat yang tidak diperlukan mungkin akan menjadi perangkap kepada anda. Maka bertindak memilih maklumat yang benar-benar diingini sahaja baik untuk mendengar atau hendak menyampaikannya..

07. Gangguan sekeliling yang menarik perhatian.

Gangguan-gangguan luaran baik berbentuk bunyi atau fizikal boleh mengurangkan kepekaan seseorang untuk mendengar sesuatu. Pernahkah anda mengalami keadaan apabila suasana menjadi sangat sunyi apabila benar-benar menumpukan perhatian kepada pelajaran sehinggakan anda tidak mendengar bunyi kenderaan di luar yang sedang rancak bergerak dan panggilan ibu di luar bilik anda. Mungkin anda seakan-akan ‘menghilangkan’ suara sahabat di hadapan anda yang sedang berkata-kata apabila mata anda tiba-tiba tertarik melihat sesuatu atau kedengaran lagu kegemaran anda yang dipasang di gerai makan seberang jalan. Inilah antara gangguan-gangguan luar yang menjejaskan gaya pendengaran yang berkualiti.

Ambilah sedikit bukan semua.


Tidak semua apa yang disampaikan secara lisan merupakan perkara penting yang perlu diambil oleh pendengarnya. Setiap apa yang disampaikan kepada anda mempunyai tujuan yang tersendiri dan memerlukan anda untuk bertindak bijaksana untuk memilih apa yang penting dan menapis mesej-mesej yang bukan menjadi keutamaan anda untuk memberi perhatian.

Menjadi pendengar yang baik mementingkan keperluan, kualiti, penilaian terhadap mesej yang diterima. Jadilah pendengar yang kritikal agar anda tidak dibebani dengan maklumat-maklumat yang tidak membantu anda dalam membuat keputusan. Pendengar yang kritikal akan terbuka kepada kedua-dua mesej negaif dan positif sebelum memilih salah satu daripadanya.

Ada individu yang menyampaikan mesej yang tidak logik dengan kenyataan-kenyataan mengelirukan. Boleh jadi ia bertujuan untuk menguatkan mesej dengan menyokongnya melalui alasan-alasan yang dirasakan bersesuaian dan boleh diterima.

Kenalpasti sama ada mesej tersebut boleh diterima, relevan, tepat dan bukannya sesuatu yang dibuat-buat. Ambil pendekatan yang sesuai untuk mengenalpasti kepalsuan maklumat dalam kelompok berikut.

“Jika ia berlaku begitu, maka beginilah jadinya.”

Ada yang sengaja membuat-buat cerita untuk menguatkan keadaan bahawa sesuatu yang berlaku pasti akan berlaku kesan yang sama. Namun begitu, mesej kesan dan akibat tidak semestinya berlaku dalam setiap keadaan.

Ada waktunya, seseorang percaya dengan situasi demikian kerana telah disogok dengan kenyataan demikian berkali-kali. Misalnya kepercayaan, jika mengambil gambar bertiga pasti salah seorangnya akan pendek umur adalah kesan dan akibat yang tidak wujud dan tidak ada perkaitan sama sekali

“Pendapat kita sama seperti orang lain”

Anda akan berhadapan dengan individu yang sedaya upaya untuk mendapat persetujuan anda dengan memberi alasan mesej yang disampaikan adalah perkara yang turut dipersetujui orang lain. Misalnya, “Semua orang bersetuju jika saya katakan ketua kelas itu bukanlah seorang yang bertangungjawab.”

“Pilih sama ada itu atau yang ini?

Pendengar kritikal ada waktunya berhadapan dengan individu yang seboleh-bolehnya hanya akan memberi dua pilihan sama ada untuk anda menerima mesej yang disampaikan meskipun anda sebenarnya mempunyai pilihan ketiga. Anda mungkin sedang berbincang berkenaan isu pelajar yang tidak aktif dalam persatuan, namun pilihan yang anda dengar hanyalah mewajibkan atau mendenda pelajar yang ingkar. Boleh jadi anda mempunyai pandangan ketiga, iaitu menggalakan ganjaran berbentuk sijil dan markah untuk mereka yang aktif.

“Kenyataan umum adalah benar.”

“Sahabat saya selalu didenda oleh ketua pengawas meskipun tiba awal di sekolah tersebut. Awak juga akan didenda jika berpindah ke sekolah itu keranan awak pelajar baru,” kata Suhaidah kepada rakannya yang bercadang berpindah ke sekolah tersebut. Pengalaman sahabat Suhaidah dijadikan kenyataan umum olehnya dan menjadi alasan untuk disampaikan kepada rakannya agar tidak berpindah. Kenyataan umum seperti ini tidak disokong oleh bukti-buki yang kukuh kerana ia mungkin berkaitan dengan keadaan dan individu yang berbeza.

“Memang dia selalu begitu.”

Pernahkah anda mendengar mesej-mesej negatif berkenaan sikap negatif seseorang yang disampaikan kepada anda? Jika ya, anda sedang berhadapan dengan mesej yang bersifat menyerang peribadi yang timbul kerana penyampainya berasa tidak berpuas hati terhadap individu tersebut. Ia boleh timbul apabila seseorang tidak dapat menerima idea dan pandangan yang dikongsi, maka menjadikan identiti sebagai sumber serangan untuk menyokong kehendaknya.

“Semuanya terlalu banyak!”

Dengan membiarkan anda mendengar terlalu banyak maklumat, ia bertujuan untuk mengalihkan perhatian anda terhadap isu utama yang sedang dibincangkan. Jika dalam perbincangan kumpulan, anda mungkin telah mengagih-agihkan tugasan agar setiap ahli menyerahkan salinan nota untuk tajuk yang dibincangkan sebelum ini. Tetapi, salah seorang daripada ahli kumpulan bercerita tentang perkara lain yang kelihatan besar dan penting untuk mengalihkan perhatian orang ramai tentang isu tersebut kerana dia belum menyiapkan lagi.

“Serupa tetapi tidak sama”

Isi sebuah mesej yang disampaikan kepada anda mungkin kedengaran janggal apabila apa yang disampaikan seawalnya dan penutupnya tidak ada kaitan sama sekali walaupun penyampainya sedang cuba mendapat persetujuan anda. Anda mungkin kehairanan apabila seseorang memberi alasan ketiadaan elektrik di rumah jiran mengakibatkan dia tidak sihat untuk ke sekolah atau alasan seumpamnya. Tujuan sekadar untuk meraih simpati anda atas kesihatannya, tetapi alasan disebaliknya tidak munasabah sama sekali dan ganjil bunyinya.

Tetapi, jangan terkejut ada yang menyampaikan mesej dalam kategori ini kerana yakin bahawa anda pasti mempercayainya.

Memberi maklum balas yang memuaskan hati

Memberi maklum balas yang sesuai terhadap mesej yang diterima memberi kepuasan kepada diri dan penyampainya. Selain daripada bersikap empati terhadap penyampainya, iaitu dengan menyediakan emosi anda dalam keadaan yang digambarkan, Maklum balas secara langsung menggambarkan anda adalah pendengar yang aktif secara lisan dan bukan lisan.

Pada masa yang sama, ia membantu anda untuk memahami maklumat dengan lebih baik lagi. Malah, anda juga memberi gambaran untuk bersetuju atau sebalik terhadap apa yang disampaikan. Selain itu, maklum balas memperlihatkan sejauh mana maklumat tersebut memberi kesan kepada anda.

Terdapat beberapa kaedah lain untuk anda memberi maklum balas yang menyenangkan hati kedua-dua pihak

Beri tempoh untuk diri anda dan penyampai.

Sahabat anda baru sahaja berhadapan perkara yang mendukacitakan berkenaan rakan karibnya yang kerap melanggar janji. Anda yang mendengar luahannya mungkin bercadang untuk menasihatinya agar lebih bersikap tegas dan jelas dengan pendiriannya terhadap rakan baiknya agar permintaannya lebih dihormati pada masa akan datang. Mungkin anda bercadang untuk memberitahunya selepas sahabat anda berkongsi perasaan sedihnya. Boleh jadi ia akan lebih memburukan keadaan. Anda pula yang akan kelihatan ‘tidak berperikemanusiaan’ di matanya. Ia seolah-oleh menyalahkan dia kerana memilih kawan sedemikian.

Anda mungkin boleh memberi ruang waktu sebelum memberi maklum balas. Mungkin anda boleh menasihatinya secara tersirat apabila keadaan menjadi tenang. Tetapi ada waktunya, maklum balas segera diperlukan. Misalnya dalam membantu rakan-rakan mengulangkaji pelajaran. Kesilapan dalam menjawab soalan latihan perlu diperingatkan segera bukan sehingga sahabat anda melakukan beberapa banyak soalan baru hendak diperbetulkan.

Sampaikan maklum balas yang berguna

“Memang betul kata awak, dia memang berperangai buruk…”

“Awak sendiri sudah lihat betapa tidak berterima kasihnya dia…”

Elakan memberi maklum balas berbentuk provokasi emosi sekadar untuk menunjukan anda sedang mendengar. Berikanlah maklum balas yang berguna, sesuatu yang boleh diterima pakai dan memberi keuntungan kepadanya. Misalnya, sekiranya sahabat anda menceritakan tentang sikap gurunya yang selalu menggagalkannya dalam ujian, elakan memberi maklum balas seperti “Memang cikgu itu selalu gagalkan pelajar yang tidak disukainya” atau “Cikgu itu memang kejam.” Sebaliknya, berikan maklum balas yang boleh diaplikasikannya seperti, “Mungkin cikgu itu ada masalah dan perlukan masa untuk menenangkan diri. Awak pergilah jumpa dia.” Atau “Boleh jadi cikgu itu hendak awak sentiasa berjumpa dengannya, ambilah peluang itu,” atau seumpamanya.

Potong mana yang perlu.

Ada maklumat yang berguna dan ada yang sebaliknya. Kita telah membincangkan sebelum ini, maklumat yang terlalu banyak membebankan anda untuk memberi tindakbalas yang sesuai. Anda harus tahu mengasingkan maklumat mana yang ingin anda gunakan dan lupakan maklumat-maklumat selebihnya. Ringkas tetapi tepat.

Fokuskan maklum balas anda.

Maklum balas yang disampaikan janganlah kedengaran terlalu umum sehinggakan penerimanya tidak dapat bertindak balas mengikut pendekatan yang betul. Anda mungkin berhadapan dengan sikap pelajar yang suka membuat bising di kelas, selain daripada anda memberitahunya bahawa, “Awak bisinglah!’ tukarkan pendekatan anda kepada. “Maaf, saya sedang mengulangkaji kerana ada ujian selepas ini, boleh perlahankan suara awak? Kemungkinan mesej anda yang kedua lebih mudah diikiuti kerana maklum balas tersebut menggambarkan keadaan yang berlaku bukan penilaian terhadap sikapnya.

Tip menjadi pendengar yang baik.

Salah satu masalah yang timbul untuk menjadi seorang pendengar yang baik ialah tidak fokus terhadap apa yang disampaikan kepadanya. Terdahulu, kita telah membincangkan serba sedikit kebaikan menjadi pendengar yang baik dan halangan-halangannya. Kali ini topik perbincangan akan mengkhususkan kepada bagaimana meruntuhkan halangan-halangan tersebut dan berubah menjadi seorang pendenaryang berkualiti.

Nanti, berhenti dahulu!

Anda mungkin sedang memikirkan sesuatu ketika duduk rehat di bangku kafeteria, dalam tempoh tersebut apa yang anda fikirkan turut dapat didengari dalam minda anda sehinggalah anda didatangi oleh rakan anda untuk berbual. Apa sahaja suara yang timbul dalam minda anda haruslah dibisu dan fokuskan kepada apa yang ingin disampaikan oleh rakan anda. Seandainya anda tidak fokus terhadap apa yang disampaikannya, percayalah bahawa dia pasti mengetahuinya. Salah satu petandanya ialah wajah anda yang sedikit mengelamun kerana asyik dengan suara minda. Kedua, ialah apabila anda gagal menjawab soalannya, “Apa pandangan awak?” atau “Awak dengar apa yang saya cakap tadi? Beritahu saya.”

Lihat, jangan berpaling.

Sentiasa ingat, apa sahaja gerak badan anda adalah bahasa yang paling berkesan dan mudah dikesan oleh sahabat anda. Melalui bahasa bukan lisan ia berperanan menyampaikan apa yang terkandung dalam hati anda. Kajian menunjukkan, seseorang lebih cenderung mempercayai apa yang dilihatnya berbanding apa yang didengarinya apabila mesej lisan dan bukan lisan saling bertentangan.

Wujudkan komunikasi mata dengan melihat sahabat anda dalam keadaanyang berminat dan memperlihatkan sikap anda yang menumpukan perhatian terhadapnya. Seandainya, ia melibatkan sahabat yang berlainan jantina atau anda kurang selesa untuk berbuat demikian, tumpukan penglihatan anda pada bahagian dahi kerana arah penglihatan akan kelihatan selari dengan matanya.

Sudah masanya untuk anda mendengar.

Buat rumusan sendiri terhadap apa yang disampaikannya. Anda mungkin tidak dapat mengingati setiap satu yang diucapkan, tetapi anda boleh mencari isi utama yang ingin disampaikan dan cuba ingati satu dua keadaan yang berkaitan dengan mesejnya atau kisah yang disampaikannya sendiri. Cuba buat gambaran minda untuk menyusun perkara-perkara utama yang diberitahunya.

Kenalpasti mengapa anda perlu mendengarnya, ia menentukanhala tuju pendengaran anda. Seandainya anda sudah mengenalpasti bahawa kisahnya mempunyai unsur-unsur sedih, maka anda harus bersedia untuk sama-sama mendengar dan merasai keadaan demikian. Ia pasti kelihatan ganjil jika kisah sedihnya disambut dengan ketawa, sebabnya anda memfokuskan pendengaran sebagai sumber hiburan dari awal-awal lagi.

Latihan mendengar berita di radio, televisyen, meneliti lirik-lirik muzik yang dimainkan, mengikuti ceramah dan ucapan sekolah adalah bentuk latihan yang baik untuk menjadikan anda mudah untuk mendengar dan menangkap isi utama perbualan lebih cepat lagi.

Sekali sekali bertanyalah.

Dengan bertanya mempamerkan sikap anda yang sememangnya bertumpu kepada bual bicaranya. Sikap anda bertanya dalam jarak masa yang sesuai dan berselang seli dengan isi perbualannya memberi ruang henti untuk kedua-dua pihak kembali dalam keadaan ‘segar’ untuk memberi tumpuan, menjelaskan lagi keadaan yang sedia anda, memberi dorongan untuk sahabat anda untuk terus bercerita. Anda mungkin tidak memahami apa yang disampaikan, maka bertanyalah.

Susun kata-kata, lontarkan semula.

“Maksud awak…”

“Apa yang saya faham dari cerita awak tadi…”

“Jadi, apa yang terjadi sebenarnya…”

Ayat-ayat ini disambung pula dengan mesej yang disampaikan membantu anda untuk mempastikan apa yang difahami sama dengan mesej asalnya. Tidak perlulah anda mengulang satu persatu perkataannya, cukuplah untuk anda menyebut kembali isi utama mesej tersebut. Kajian yang dilakukan oleh C.W Ellison dan I.J Firestone pada tahun 1974 menyebutkan, pendengar yang bertindak sedemikian lebih mudah dipercayai dan dihargai. Mahukah anda dalam kelompok itu?

Monday, January 30, 2006

Pendedahan Kendiri, membina perhubungan melalui bicara.

Salah satu perkara penting dalam mengembangkan dan menilai konsep kendiri adalah dengan melihat reaksi dan tindak balas orang lain terhadap pendedahan kendiri. Pendedahan kendiri berlaku apabila anda dengan sengaja mendedahkan maklumat peribadi anda terhadap orang lain yang tidak akan diketahui melainkan jika diberitahu.

Kita boleh mengagak umur, ketinggian dan berat dengan sekadar melihat. Tetapi mustahil untuk menjangka secara tepat melainkan anda diberitahu. Pendedahan kendiri bukan sahaja membantu orang lain memahami anda, ia juga menandakan tahap kepercayaan dan penerimaan orang lain terhadap anda.

Hubungan yang lebih baik dalam persahabatan mahupun kekeluargaan tidak akan mencapai peringkat yang lebih erat tanpa pendedahan kendiri, sebaliknya ia sekadar perhubungan palsu atau secara terpaksa kerana sebab-sebab tertentu. Anda boleh menilai konsep kendiri orang lain dan diri anda sendiri hanya apabila kedua-dua pihak bersedia mendedahkan diri antara satu sama lain.

Tahukah anda mengapa salah seorang rakan yang anda kenali di anggap sebagai rakan karib? Hatta diri penulis juga mempunyai rakan karib. Tanpa ragu-ragu, salah satu karateristik yang menjadikan seseorang itu sebagai rakan paling akrab dengan diri anda ialah kesediaan kedua-dua pihak berkongsi maklumat peribadi.

Apabila anda bersama dengannya, anda bersedia untuk berkongsi rahsia diri, buruk atau baik berbanding rakan-rakan lain yang mengenali anda secara luaran. Dua orang penyelidik, Irwin Altman dan Dalmas Taylor telah memperkenalkan model ‘penembusan sosial’ (social penetration). Cuba anda bayangkan sebiji kek berbentuk bulat. Ia mewakili semua maklumat berkenaan diri anda yang berkemungkinan didedahkan kepada orang lain.

Kek tersebut dipotong dan dibahagi-bahagikan mengikut saiz yang sama. Setiap bahagian mewakili sebahagian daripada diri anda. Contohnya, beberapa bahagian kek tersebut mewakili diri anda yang berkaitan dengan aktiviti, kepercayaan dan agama, keluarga, sekolah, ketakutan, pengalaman hidup atau apa sahaja yang berkaitan.

Di bahagian tengah kek diibaratkan sebahagian maklumat yang bersifat sangat peribadi semakin lama seseorang itu memakan kek tersebut, semakin banyak maklumat yang akan dimiliki olehnya. Sebanyak mana bahagian kek kehidupan yang ingin anda kongsi, terpulang kepada anda.

Untuk mendedahkan maklumat diri anda kepada orang lain, pertama sekali anda perlu menyedari tentang diri anda terlebih dahulu. Kesedaran kendiri, ialah kefahaman terhadap diri secara sedar. Dengan memikirkan tentang diri, bertanyakan kepada orang lain dan mendengar apa yang disampaikan berkenaan diri anda adalah proses kesedaran kendiri.

Salah satu kaedah yang boleh dilakukan untuk memahami diri anda adalah dengan menggunakan model Tetingkap Johari (Johari Windows) yang diperkenalkan oleh Joe (Joseph Luft) dan Harry (Harry Ingham). Lontarkan pandangan anda melihat sebuah tingkap yang mempunyai kerangka 4 segi yang dibahagikan kepada empat bahagian. Kita wakili setiap bahagian sebagai kuadran pertama hingga ke empat yang mempunyai karakteristik seperti berikut;

Kuadran pertama

Ia dipanggil sebagai ‘kawasan terbuka’. Mengandungi maklumat diri yang diketahui oleh anda dan orang lain. Apabila anda bersifat lebih terbuka terhadap orang lain maka kuadran ini akan terus membesar. Umur atau pekerjaan adalah antara maklumat yang anda letakan ke dalam kuadaran ini,

Kuadran kedua

Ia dikenali sebagi sebagai ‘kawasan buta’. Mengandungi maklumat diri yang diketahui oleh orang lain terhadap diri anda, tetapi anda sendiri tidak mengetahuinya. Penulis masih ingat salah satu jenaka yang selalu dilakukan di sekolah ialah melekatkan kerta yang bertulis ‘Pukul Saya’ di belakang pelajar lain. Begitulah sifat kuadran kedua. Anda mungkin merasakan diri anda seorang yang suka membantu, tetapi rakan-rakan lain melihat anda seperti ingin mengambil hati orang lain untuk kepentingan diri.

Kuadran ketiga

Ia dipanggi sebagai ‘kawasan tersembunyi’. Mengandungi maklumat diri yang diketahui diri anda sendiri tanpa diketahui umum. Ia mungkin melibtakan perasaan anda terhadap orang lain, perkara-perkara memalukan yang pernah berlaku terhadap diri. Kawasan tersembunyi ini tidak sewajarnya didedahkan kepada orang lain, ia boleh digunakan sebagai cermin untuk memperbaiki diri.

Kuadran ke empat.

Ia dikenali sebagai ‘kawasan tidak ketahui’. Baik anda mahupun orang lain tidak mengetahui maklumat tentang diri. Ia bergantung sama ada anda masih belum mengenali diri anda sepenuhnya atau tindak balas anda terhadap sesuatu yang belum berlaku atau perkara-perkara diketahui oleh Tuhan.

Selepas ini anda bebas untuk memilih dan melakar sama ada kek kehidupan atau tetingkap diri untuk lebih mengenali diri sebelum bersedia mendedahkan rahsia diri terhadap orang lain.

Wednesday, August 10, 2005

Assalamualaikum wbt

Komunikasi Interpersonal (komunikasiminda.blogspot.com) adalah koleksi penulisan yang disiarkan dalam majalah bulanan Dewan Siswa dalam ruangan Personaliti Pelajar bermula dari November 2004 sehingga kini. Ia menyentuh kepada hubungan kendiri, hubungan antara manusia, mengenalpasti kelebihan dan kekurangan dan tip-tip membina diri. Segala komen, kritikan, soalan dan pandangan dialu-alukan untuk para pengunjung berkongsi dengan maklum balas sepanjang melayari blog ini. Penulis juga mengalu-alukan sebarang kisah menarik berkaitan dengan pengalaman dan kisah-kisah kemanusiaan yang menyentuh tentang perhubungan, emosi dan pemikiran untuk dikongsi bersama dalam blog ini.